Isnin, 22 Mac 2010

MAKSIAT MEMADAMKAN CAHAYA KECERDASAN


Para ulama' telah bersepakat bahawa syarat yang paling penting untuk memiliki hati yang terang dan ingatan yang kuat ialah bertakwa dan menjauhi segala dosa atau maksiat. Meninggalkan perbuatan maksiat membuatkan seseorang mempunyai ingatan dan hafazan yang kuat dan tajam. Ingatan adalah kurniaan daripada Allah s.w.t. yang hanya dianugerahkan kepada orang yang mematuhi dan taat kepada perintah-Nya. Orang yang melakukan maksiat tidak layak menyandang anugerah tersebut.
Imam Syafie pernah mengadu mengenai kelemahannya dalam menghafal kepada gurunya, Syeikh Waqi'. Lalu gurunya melarang beliau melakukan dosa untuk mengelokkan hafalannya dengan ucapan : 
"Sesungguhnya ilmu itu cahaya. Sedangkan cahaya Allah itu tidak dianugerahkan kepada orang-orang yang melakukan dosa."                             

Pada suatu ketika Imam Syafie bersyair :

"Kuadukan kepada Waqi' kelemahan ingatanku. Beliau menyarankan daku agar meninggalkan maksiat. Kekuatan ingatan adalah kurnian Ilahi. Sedangkan kurnia Ilahi tidak diberikan kepada orang yang berbuat maksiat."
Begitu juga nasihat Imam Malik.  Ketika beliau tersangat kagum melihat kecerdasan dan ketinggian minda Imam Malik, "Sesungguhnya saya melihat Allah mengurniakan sinar di dalam hatimu, maka janganlah engkau memadamkannya dengan maksiat."
Maksiat menghalangi ilmu. Ilmu adalah cahaya Allah yang bertempat di hati manakala maksiat memadamkan cahaya itu. Meninggalkan maksiat adalah sebesar-besar sebab tokoh Islam dahulu menjadi terlalu genius dan pintar. Sekiranya anda ingin memiliki IQ yang genius dan ingatan fotografi, maka berusahalah sekuat mungkin untuk menghindari maksiat.
Selain itu, penyebab lupa ialah kesibukan, kebimbangan dan kegilaan terhadap kemewahan dunia. Kegilaan terhadap dunia membawa kepada kegelapan hati. Saidina Uthman bin Affan memnegaskan, " Kebimbangan terhadap dunia menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap akhirat menyinarkan hati."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan